Pages

Thursday, January 3, 2013

Semoga ketabahan itu milik kita.



Apa khabar hari ini? Semoga semuanya sihat walafiat. Saya doakan mereka yang masih mempunyai emak dan bapa agar diberi kekuatan untuk menjaga insan-insan yang kalian kasihi walau apapun kondisi kesihatan mereka. Semoga kita sebagai anak-anak dipermudahkan untuk memenuhi segala segi keperluan dan pengorbanan masa bagi memenuhi tanggungjawab kita terhadap emak dan bapa tersayang sepertimana mereka memenuhi tanggungjawab mereka terhadap kita semenjak kita dilahirkan.

Begitu tersentuh hati saya membaca nukilan hati dalam blog sahabat saya, KN ( Bunda ) hari ini. Saya mampu merasai kehibaan dan kesedihan hati Bunda, walaupun tidak Bunda nyatakan pada halaman penutup tirai blog 2012, tapi seolah-olah saya mampu merasainya. Semoga bunda dan keluarga diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan yang menimpa.

Saya sudah tidak punya emak. Sejak emak meninggal dunia lima tahun lepas, kadang-kadang terasa separuh dari hati dan jiwa ini telah dibawa pergi bersama emak. Terkadang bila menjelang hari-hari perayaan, saya sengaja tidak akan balik ke kampung lebih awal. Saya lebih kepada mengelak untuk bersemuka adik beradik saya terutama sekali kakak-kakak dan bapa saya. Mereka seringkali berkumpul di suatu sudut mengenang kembali kenangan bersama emak, kesukaan-kesukaan emak dan hampir semua tentang emak sambil ditemani linangan air mata. Dan itulah sebenarnya yang saya cuba elakkan. Saya seboleh-bolehnya tidak mahu hanyut dalam kesedihan bersama-sama mereka. Saya lebih suka dilihat tabah dihadapan mereka, walaupun didalam hati saya turut meraung menangis ketika itu. Biarlah hanya Tuhan yang tahu. Biarlah saya yang akan meniupkan semangat kesabaran disaat mereka dalam kesedihan. Saya tidak mahu mereka berlarutan dalam kesedihan. Jadi, saya memilih untuk banyak mendengar akan luahan kesedihan mereka berbanding turut menangis bersama. Mungkin sifat saya ini saya teladani dari sifat emak yang lebih banyak memberi kata-kata semangat disaat ada di kalangan saudara-mara ditimpa musibah atau kesedihan, umpamanya kematian ahli keluarga. Emak pernah berkata, mungkin kita tidak mampu menghulurkan bantuan berupa wang ringgit kepada orang yang memerlukan, tapi kita masih punya kata-kata semangat untuk menghibur mereka, bukannya tangisan yang mereka inginkan. Jadi, kita harus lebih kuat. Kata-kata emak itulah yang banyak memberi pedoman kepada saya hingga kini. Mungkin sifat emak inilah yang menurun membina peribadi saya yang sama seperti peribadi emak.



Saya selalu yakin bahawa Tuhan itu Maha Adil. Bilamana seseorang yang kita kasihi sepenuh hati, orang itu pula dikalangan orang baik-baik, disaat ketiadaan mereka pun kita masih merasakan orang itu sentiasa berada dekat dengan kita.
Semoga ketabahan itu menjadi milik kita, biarpun banyak dugaan berat yang menimpa,biarpun banyak tentangan kehidupan yang menghalang-halangi perjalanan hidup kita, biarpun berjuta musibah yang menduga kesabaran kita. Apa yang perlu kita lakukan ialah sentiasa bersiap-siaga dengan apapun yang bakal kita hadapi. Di samping itu kita kena berusaha mencari kaedah-kaedah yang boleh membantu kita menghadapi setiap tentangan, halangan dan musibah tersebut. Selanjutnya kita serahkan segala tentangan, halangan dan musibah itu kepada Allah yang Maha Esa tanpa sebarang penyesalan. Lalu lihatlah apa yang bakal terjadi. 

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi memberi komen.
Sudi datang dan komen banyak-banyak untuk membolehkan saya menaiktaraf kualiti blog ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Mockingjay