Pages

Thursday, November 29, 2012

Kesihatan gigi

Salam luar biasa sihat hari ini.
Saya baru balik dari klinik. Apa cerita? Saya saja memenuhi temujanji untuk rawatan kebersihan gigi anak-anak. Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan, cepat mendapat giliran untuk diperiksa dan anak-anak pun tidak meragam sangat semasa pemeriksaan gigi dijalankan.

Nak dijadikan infomasi yang berguna untuk semua. Menurut dokter gigi tadi, ramai ibu bapa tidak tahu kerosakan gigi anak-anak disebabkan menyusu ketika tidur, anak-anak dibiarkan tidur dengan botol susu masih di mulut. Bakteria penyebab karies gigi berupaya menghasilkan asid daripada gula ( laktosa ) yang terkandung dalam susu. Hal ini disebabkan kekurangan rembesan air liur ketika tidur. Air liur mengandungi komponen yang berupaya meneutralkan asid. 


gigi sihat


Nasihat yang berguna untuk saya dan semua ibu bapa, jangan biarkan anak-anak tidur dengan botol susu di mulut. Jika anak-anak sudah menjangkau umur 12 atau 14 bulan, galakkan anak-anak meminum susu menggunakan cawan.


Mudah mengamalkan apa yang memang kita sudah amalkan dan biasa kita amalkan. Betul kan. Bak kata pepatah melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Melentur amalan untuk menjaga kesihatan, biarlah seawal kanak-kanak lagi. 

" Motivasi itu perlu seumpama makan nasi "
                            ~ DR. Hm Tuah Iskandar al-Haj ~


Monday, November 26, 2012

Tukar lagi..

Salam sejahtera dan luar biasa bahagia.
Semoga semuanya okey. Kalau kurang okey cuba hayati lagu yang baru saya masukkan dalam blog ini. Lagu tentang sahabat. Best kan.

Tutorial untuk dapatkan lagu seperti ini, caranya sangat mudah.
Ikuti langkah-langkah ini:


  1.  Masuk di halaman www.fullmusik.net
  2.   Pilih lagu yang anda mahu. Terdapat banyak pilihan.
  3.  Dengarkan dulu lagu yang anda mahu, sebab ada lagu yang tidak boleh diupload.
  4.  Sila copy lagu yang anda mahu. 
  5. Masuk semula ke halaman blog anda.
  6. Klik di bahagian design, masuk pula di bahagian layout.
  7. Klik di bahagian yang bertulis add gadjet.
  8. Pilih bahagian yang bertulis HTML/ JAVA SCRIPT.
  9. Satu halaman kosong akan tertera, anda hanya pastekan lagu yang telah anda copy tadi.
  10. Jika tiada makluman error, anda boleh save. Anda sudah berjaya menambah lagu di laman blog anda sendiri. Syabas.

  Jangan takut untuk mencuba. Anda gagal, setidak-tidaknya anda sudah punya pengalaman bermakna dan   cerita untuk dikongsikan kepada orang lain. 

Saturday, November 24, 2012

Kaedah mengingat.

Salam menerokai ilmu minda. Mari kita rungkaikan bagaimana kaedah mengingat dengan cara mudah. 

Penulis buku ' The Memory Book ', Harry Lorayne dan Jerry lucas berkata, masalah lupa boleh diselesaikan dengan mudah. Caranya sangat mudah. Yang perlu dilakukan ialah memerhati sesuatu benda itu dengan teliti. Kemudian gambarkan dan kaitkan ia dengan satu benda lain, atau apa saja yang mudah diingat.

Buku yang luar biasa bagus untuk dibaca.


Mengikut pemahaman saya dari penerangan penulis buku tersebut bolehlah saya berikan sedikit contoh bagaimana kaedahnya. Contohnya, bila kita cuba mengingat ketinggian gunung kinabalu. Kaitkan dengan tarikh yang mudah diingat, contohnya tarikh hari kelahiran rakan anda. Jadi kaitkan dengan ketinggian gunung kinabalu, 13,435 kaki. Kemudian kaitkan dengan salah seorang rakan anda yang akan menyambut harijadi pada 13hb April. Sementara nombor 35 itu kaitkan dengan angka ganjil yang terkecil mengikut turutan. Mudah bukan. 
~ Rupanya, kita akan merasa sangat dihargai apabila seorang sahabat mampu mengingat dan mengulangi kata-kata hikmah yang pernah kita ungkapkan kepadanya. ~
  

Thursday, November 22, 2012

Gembira selalu..

  Salam ceria dan luar biasa gembira.Gembirakanlah hati anda selalu. Gembira boleh menentang rasa sakit. Kata pakar-pakar kesihatan, gembira lebih membuat wajah kelihatan bermaya. Justeru itu, mari kita usahakan untuk rasa gembira dalam apa juga situasi yang kita hadapi. 


Sumber dari Youtube.

Nampak tu, budak kecik pun pandai mencari sumber kegembiraannya sendiri. Ini cara budak tu. Kita pun boleh cari sendiri dari pelbagai sumber dan cara asalkan sumber bukan diperolehi dari cara yang menyalahi undang-undang dan syariat.  Mungkin buat seisi minum-minum petang dengan kawan rapat. Kawan yang kita rapat tu boleh menyelami masalah yang kita hadapi. Pastikan kawan tu yang boleh dipercayai, takut-takut lain yang kita harapkan lain pula jadinya. Jangan cari penyakit. Mungkin pergi menziarahi saudara-mara boleh mencetuskan rasa gembira anda. Banyak info yang boleh kita bicarakan dengan saudara kita. Maklum sudah lama tidak bersua muka. Banyaklah cerita bagus dan terbaik yang boleh dikongsi sesama mereka.


"Apabila seseorang itu gembira,perasaan itu umpama mekanisme semulajadi yang meningkatkan kadar imunisasi tubuh melawan penyakit".- Dr. Tuah Iskandar al-Haj.

Kudapan kegemaran saya

Dalam sedih-sedih tu, cuba makan coklat. Dan lihatlah hasilnya. 
 Pengambilan coklat khususnya coklat hitam (dark chocolate) amat penting untuk kesihatan. Ini kerana, coklat hitam mengandungi antioksidan lapan kali ( 8x ) lebih tinggi berbanding buah strawberi. Kajian yang dilakukan juga mendedahkan kandungan flavonoid, iaitu bahan antioksidan dalam koko, baik untuk kesihatan jantung kerana ia boleh melancarkan aliran darah, mengurangkan risiko pembentukan darah beku dan memperbaiki tahap kolesterol, selain melindungi kerosakan dan keradangan sel.



Sunday, November 18, 2012

Perlu tahu.


Salam pertemuan.
Selamat hari ahad. Semoga hari kita dilengkapkan aura ketenangan. Melihat burung-burung kecil berterbangan , hati bertambah tenang dan seronok. Lihat pula di sekeliling anda. Melihat anak-anak kita bermain riang, semakin bertambah-tambah keterujaan kita meneruskan kehidupan yang nyatanya sangat singkat. Oleh itu nikmati saja hidup ini seadanya, belum pasti esok masih ada untuk kita.

Saya baru habis membaca tentang kesan kekurangan serotonin dalam tubuh badan. Apa itu serotonin? Serotonin adalah sejenis hormon yang terdapat di dalam tubuh kita yang mengawal mood, mengurangkan emosi negatif dan membuatkan kita lebih merasa bahagia. Lebih tinggi serotonin, lebih gembiralah kita kata pakar.

Fakta dan infomasi tentang serotonin

Bagimana tanda-tanda kita kekurangan serotonin? Keinginan anda terhadap kanji dan gula-gula, coklat atau minuman manis mungkin adalah cara tubuh anda memberi isyarat tentang kekurangan serotonin.

Kesan kekurangan serotonin antaranya:

 ~ Sentiasa murung atau kemurungan
 ~ Sentiasa bersedih atau cepat sangat merasa sedih tentang sesuatu
 ~ Mudah tersinggung
 ~ Selalu marah-marah dan mudah marah


Perlu difahami bahawa sebahagian daripada masalah yang seringkali dikaitkan dengan kemurungan ialah tekanan. Kita semua mungkin akan mengalaminya tidak kira tua atau muda. Terlalu banyak tekanan boleh menyebabkan anda kelihatan lebih tua daripada umur sebenar. 

Kehilangan fungsi memori atau ingatan yang sementara juga dikaitkan dengan tekanan. Contohnya, bila anda ditekan menyiapkan satu projek pada saat-saat akhir. Tekanan untuk menyiapkan tugasan yang ditekankan kepada anda menambahkan kekurangan untuk berfikir secara kreatif.

Bagi membantu badan menghasilkan serotonin, masukkan karbohidrat kompleks dari sumber makanan seperti;
  • Beras perang
  • Kentang
  • Gula perang
  • Pisang
Alternatif lain ialah menggunakan pelbagai jenis wangian minyak pati yang mampu merangsang pusat saraf otak untuk meningkatkan kerehatan otak dan kesejahteraan. Pati-pati tumbuhan yang popular untuk kegunaan ini termasuk;
  • Pati minyak bunga ros
  • Pati minyak oren
  • Pati minyak lavender
  • Pati minyak bunga Jasmine
  • Pati minyak ylang ylang ( bunga kenanga )
Pati minyak Ylang Ylang at www.winura.com 

Cara melakukan terapi ini, masukkan mana-mana 5 titisan minyak pati yang tersenarai di atas ke dalam 1 tab mandi penuh. Mampu membangkitkan perasaan yang luar biasa baik dan membantu mencapai kualiti tidur yang baik.



Selamat mencuba.

Friday, November 16, 2012

Manusia hebat nurani.


Selami Jiwa musim 2. Sebuah program bual bicara yang dihoskan Dato Dr. Haji Fadhilah Kamsah.

Pengajaran yang kita dapat dari apa yang dikongsikan dalam bual bicara ini sangat memberi motivasi untuk memperbaiki hubungan dalam rumahtangga.


"Salah satu cara untuk kita mengelakkan penindasan kanak-kanak, emak bapa eratkan kasih sayang. Bila rumahtangga harmoni, hidayah Allah akan turun mencurah-curah. Banyak masalah akan selesai. Banyak masalah akan timbul apabila emak..ayah berkonflik, malaikat rahmat akan keluar dari rumah. Perkemaskan, perkasakan rumahtangga masing-masing sebagai satu cara yang paling berkesan dalam menanggani anak-anak yang tidak berdosa, penindasan kanak-kanak dan sebagainya." - Petikan dari kata-kata Dato Dr. Fadhilah Kamsah.



Lagu damai.

Selamat bertemu kembali setelah beberapa hari ruangan blog ini tidak terupdate dengan kata indah dari saya. Betul la tu, saya sengaja tulis kata indah. Hanya kata-kata indah yang sangat bagus untuk pengisian ke dalam nurani bagi mencetus suasana hidup yang indah-indah. Betul kan. Hari ini saya berjaya menambah baik pengisian blog saya dengan senarai lagu dendangan artis yang saya gemari. Saya masukkan lagu ini untuk membantu mencetus rasa semangat dan rasa yang luar biasa bagus untuk saya melakar semangat motivasi bersama anda. Harapan saya juga anda yang membaca blog saya turut merasa aura rasa yang saya rasai semasa menulis blog ini. Anda mampu merasakan seperti apa bagusnya perasaan saya hari ini. Betul tak? 

Bak kata Dr. Tuah Iskandar, usah jadi biasa-biasa, tapi jadilah luar biasa. Nak jadi biasa-biasa tak perlukan usaha luar biasa tapi bersedialah berakhir sebagai biasa-biasa. Setakat biasa-biasa apa nak heran, tapi kalau nak jadi luar biasa usahanya tak bolehlah biasa-biasa. Nampak tu. Saya cuba olahkan sesuatu yang luar biasa, pengisian yang luar biasa bagus, lagu yang mencetus rasa luar biasa bagus dan kata-kata indah yang sangat luar biasa indah. Saya tidak kisahkan sangat orang yang mungkin tidak suka cara saya untuk membawa perubahan yang lain dari yang lain, sebab apa yang saya targetkan bukan mencapai kelainan. Saya hanya menetapkan sasaran untuk berkongsi aura rasa yang sangat luar biasa bagus disamping info-info yang saya harapkan memberi manfaat untuk kita semua. Jika anda dapat merasai dan menerima  apa yang cuba saya sampaikan maka tercapailah target saya.

Biar nampak tak berapa laju tapi konsisten bergerak, akhirnya sampai penamat, itu tentu jauh lebih baik daripada berdesup laju tapi tak lama dan tak selalu.
                                     ~ Dr.Tuah Iskandar al-haj ~

Semoga alunan lagu ini mampu mencetus perasaan damai dan sangat bahagia di hati anda. 

Wednesday, November 14, 2012

Makanan yang luar biasa bagus untuk para wanita


Salam ceria dan salam luar biasa hebat hari ini.
Saya senaraikan makanan yang kaya dengan phytoestrogen dan makanan yang agak efektif dalam menambahkan estrogen apabila pengeluaran sendiri ( proses semula jadi ) anda mula menurun.



1. Keladi ( yam ) 
~ Spesis yang berbeza daripada keledek.

2. Kacang soya 
~ Pengambilan yang disyorkan 2 hingga 3 hidangan setiap hari, contohnya 8 auns susu soya bersamaan 1 hidangan. 4 auns tauhu adalah hidangan yang lain.

 3. Teh daun clover merah
~ 1 aun herba kering dimasak dengan 1 pain air mendidih. Caranya, seduhkan selama 3-5 minit dan minum sebanyak 2 cawan setiap hari.

4. Minyak flaxseed
Juga dikenali sebagai biji rami

 ~ Caranya minyak dari minyak flaxseed dicampurkan ke dalam susu soya badam, dadih atau keju kotej yang dibuat daripada sedikit lemak untuk penyerapan terbaik. Sukatan 1 sudu besar setiap hari. Jangan masak dengan menggunakan minyak flaxseed kerana haba memusnahkan faedah atau khasiat yang terkandung.


Tuesday, November 13, 2012

Lagi info untuk Wanita

Salam ceria dan luar biasa sihat sejahtera hendaknya. Mari kita sambung lagi berbicara berkaitan info pengetahuan am untuk semua wanita. Ingat, wanita hebat perlu tahu maklumat yang bersangkut paut dengan perihal kesihatan diri sendiri yang pasti akan melalui proses ini agar kita dapat bersiap sedia menangani situasi itu nanti. Sumber diperolehi dari Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Helen Benedict Lasimbang. Hari ini saya mengupas tentang Menopaus, penyakit yang amat digeruni para wanita kini.

Apa itu Menopaus ?

Menopaus adalah daripada perkataan bahasa Greek yang bermaksud 'pemberhentian haid'. Ia merupakan proses perubahan semula jadi. 


Apakah yang menyebabkan Menopause ?

Menopause berlaku apabila kilang telur ( ovari ) berhenti berfungsi dan hormon estrogen dan pengestogen berkurangan. 

Sistem pembiakan perempuan


Tahukah anda :
* Bayi mempunyai 6 juta folikel.
* Gadis sunti ( puberty ) 300 000 - 400 000 folikel.
* 45 tahun 5000 - 20 000 folikel.
* 2 - 3 tahun sesudah menopause hanya beberapa folikel saja yang tinggal.


Umur permulaan Menopause :

~ Purata umur 49 tahun.
~ Tidak dipengaruhi : bangsa, kemiskinan, berat tubuh, ketinggian, penggunaan ubat perancangan.
~ Wanita yang punya tabiat merokok akan mengalami menopause lebih awal.
~ Menopause pramatang umur kurang dari 40 tahun disebabkan gangguan hormon atau pembedahan ovari.


TANDA-TANDA : 

1. Tanda jangka pendek ;

A. Sistem Vasomotor-1
  • Badan terasa panas membara.
  • Berlaku kepada 50 - 70% wanita.
  • Berlaku serta merta dan merebak ke muka, leher, dada dan kadangkala ke seluruh badan.
  • Berpeluh dan berasa seram sejuk siang atau malam.
  • Sekali atau seratus kali seminggu.
  • Beberapa minit atau sehingga sejam.
  • Boleh menghalang tidur dan aktiviti hidup seharian jika ketara.
  • Disebabkan oleh kekurangan estrogen, gangguan kepada daya kawalan kepada suhu badan.
* Kena banyak minum air putih untuk membaik pulih keadaan suhu badan.


B. Psikologikal :
  • Keletihan
  • Mudah lupa
  • Kurang daya penumpuan
  • Susah hendak tidur
  • Kemurungan
  • Mood berubah-ubah / perubahan perasaan.
* Sekiranya ada kawan-kawan atau saudara mara wanita yang mengalami tanda-tanda seperti diatas, mungkin mereka mengalami proses menopause ini. Fahamilah situasi mereka dan jangan mudah melenting bila berhadapan dengan mood mereka yang mungkin akan berubah-ubah dan amat menjengkelkan anda. Berilah sokongan yang boleh membantu mereka menghadapi keadaan ini. Ingat kak, adik, ibu, abang, pakcik, makcik dan anak-anak sekalian, ini adalah proses yang memang semula jadi untuk para wanita. Terimalah seadanya. Mampu bantu mengatasi proses ini, bantulah sedaya mampu. 

C. Sistem Genito - Urinari
  • Kulit vagina ( faraj ) menjadi nipis dan kering
  • Sakit di bahagian vagina
  • Sakit semasa atau sesudah hubungan kelamin
  • Mengurangkan kekerapan hubungan kelamin
  • Masalah fungsi pundi kencing, mengalami penitisan kencing semasa batuk atau semasa menghembus hidung
  • Tidak selesa semasa kencing
  • Kekerapan infeksi ( jangkitan bakteria Escherichia coli )  salur kencing.
D. Kulit
  • Menjadi tipis dan kering
  • Kehilangan bentuk dan kegebuan payu dara


2. Tanda jangka panjang ;
  • Osteoporosis ( kekurangan tisu tulang yang serius )
  • Serangan penyakit jantung dan angin ahmar ( strok )
  • Penyakit elzheimer ( mudah lupa ).


TERAPI / RAWATAN HORMON 

1. Kebaikan jangka pendek ;
  • Mengurangkan gejala-gejala jangka pendek
  • Sistem Vasekomotor
  • Psikologikal
  • Sistem genito-utinari
  • Kulit
2. Kebaikan jangka panjang ;
  • Tulang;
~ Mengurangka risiko hilang tulang
~ Mengurangkan risiko osteoporosis
~ Mengurangkan risiko patah tulang sehingga 50% ( 5 tahun )
~ Mengurangkan risiko retak tulang belakang sehingga 70-90% ( 10 tahun )


Wahai para wanita hebat, mari kita meng'hebat'kan diri kita dengan cara menjaga kesihatan tubuh badan kita. Mari kita letakkan sasaran untuk hidup lebih sihat dan gembira. Semoga dengan cara hidup yang sebegini mantap akan menjadikan kita lebih luar biasa gembira dan luar biasa bahagia. 


                Wanita sihat hati gembira,
                Hati gembira jiwa pun tenang,
                Jiwa tenang wajah berseri-seri,
                Wajah berseri peribadi bertambah mantap.





Info untuk wanita


Salam luar biasa dari saya.
Perkongsian dari saya hari ini jarang dibicarakan oleh kaum wanita. Kadang-kadang info yang diperolehi juga tidak jelas. Hari ini saya kongsikan ini untuk maklumat berguna untuk saya dan anda semua. Maklumat yang jelas dan sahih dari sumber Dr. Helen Benedict Lasimbang, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan. Diharapkan anda yang bergelar wanita dan saya sendiri dapat manfaat dan menjaga kesihatan diri kita demi kemashlahatan dan kesejahteraan diri.


Apa itu Meroyan ?

Meroyan adalah satu kejadian yang biasa bagi ibu selepas bersalin. Ibu berasa bimbang beberapa hari selepas bersalin.

Antara sebab-sebab Meroyan :
  1.  Pergolakan emosi ( emotional letdown ) yang dialami oleh wanita     berikutan dengan kebimbangan dan juga keseronokan atau keterujaan semasa mengandung.
  2.  Ketidakseimbangan yang dialami selepas bersalin.
  3.  Keletihan akibat tidur dan rehat yang tidak mencukupi.
  4.  Kebimbangan terhadap keupayaan untuk memberikan penjagaan yang sempurna kepada bayi.
  5.  Perasaan yang dia tiak lagi menarik di hadapan suaminya.

Tanda-tanda keadaan meroyan:
  1.  Perasaan amat bimbang, kesedihan, putus asa ataupun tidak selamat.
  2. Tidak aktif dan rasa keletihan yang berlebihan.
  3. Pernafasan yang cepat, denyutan jantung yang cepat dan palpitasi / debaran.
  4. Sakit atau ketidakselesaan di bahagian dada.
  5. Kurang selera makan.
  6. Perasaan panas dan sejuk ( hot or cold flashes ).
  7. Bergetar tanpa sebab.
  8. Perasaan ingin melarikan diri.
  9. Pening atau sakit kepala yang berterusan.
  10. Gangguan tidur atau tidak dapat tidur ( insomnia ). 

Rawatan:
  1. Pada kebiasaannya keadaan ini dapat diatasi dengan efektif dan hanyalah memerlukan pengenalpastian, sokongan dan keyakinan diri oleh ibu sendiri, suami dan semua ahli keluarga.
  2. Masalah meroyan boleh diubati dan boleh disembuhkan. Sekiranya keadaan meroyan ini tidak dapat dikawal dan ianya berlaku berterusan, segera dapatkan rawatan daripada doktor dengan kadar segera.
* Ingat para wanita, jangan segan untuk membuat medical check up di pusat kesihatan berdekatan sekiranya anda mengalami tanda-tanda seperti diatas.

" Salah satu faktor terpenting untuk mengekalkan kesihatan tak lain tak bukan, makanan. "
                        - Dr. Hm Tuah Iskandar -


Monday, November 12, 2012

Motivasi dari Sahabat.


Assalammualaikum dan salam kasih sayang semua..

Dia banyak memberi sumber inspirasi. Semoga berjaya selalu.


"Kita lahir dengan otak di dalam tengkorak kepala kita. Sehingga tidak peduli semiskin mana pun kita, kita tetap kaya. Kerana tidak akan ada seorang pun yang dapat mencuri otak kita, fikiran kita dan idea kita. Dan apa yang anda fikirkan dalam otak anda jauh lebih berharga daripada emas dan perhiasan."
"Jika kejahatan di balas kejahatan, maka itu adalah dendam. Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa. Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim. Tapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji"~Young Millionaire ~



Thanks for your Sharing.


‎"Kejayaan bukanlah suatu perkara luar biasa-ianya adalah perkara biasa...Ia sebenarnya adalah cara membiasakan usaha seseorang itu terhadap sebarang rintangan dan kebolehan seseorang itu terhadap perkhidmatan yang diperlukan oleh 0rang lain..Tidak ada yang lebih berjaya daripada itu semua.Namun begitu,ramai 0rang yang berfikiran bahawa istilah bagi kejayaan adalah mendapatkan sesuatu; Kejayaan,sebenarnya bermula dengan memberikan sesuatu.." ~ Julianah Mane ~

Ikhlasnya ungkapan seorang sahabat mampu dirasai walau tidak dizahirkan melalui perbuatan. ~ Has el-Rizan ~

Sunday, November 11, 2012

Motivasi dari filem.

Cerita yang banyak memberi sumber inspirasi.


Jalan penceritaan yang sangat menarik.




Filem hindi yang mesti ditonton.

Sinopsis

Mengisahkan tentang seorang budak lelaki berumur 8 tahun, Ishaan Awasthi yang bermasalah dalam perkembangan akademik dan pergaulan yang mana mempunyai kecenderungan yang amat berbeza dari rakan seumur dengannya. Kemuncak cerita dalam filem ini ialah semasa kehadiran guru pengganti, Ram Shankar Nikumbh ( Aamir Khan ) yang mengajar mata pelajaran pendidikan seni di sekolah baru Ishaan. Dengan kesabaran, sikap optimistik dan bimbingan guru baru ini telah berjaya merungkai apa sebenarnya kelemahan dan kecenderungan Ishaan. Apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh Ishaan? Luangkan masa anda menonton filem yang dipenuhi unsur motivasi ini.

Selamat menonton.

Nasihat yang lebih terkesan di hati kita kadang-kadang terzahir dari luahan anak-anak yang kita sayangi. 
                                                ~ Has el-Riz ~ 








Petua Kecantikan


Hari ini saya kongsikan petua bagaimana menghaluskan kulit anda.
Petua yang diperturunkan oleh makcik tersayang kepada saya. 

Ambil madu dan tuangkan ke dalam bekas memasak. Kuali pun boleh, tapi kena guna kuali yang bersih. Agak-agaklah banyak mana  bagi mencukupi sapuan ke seluruh tubuh badan anda. Panaskan madu tu sekejap saja, jangan lama sangat. Sekitar tempoh seminit dua dengan api yang sederhana. Biarkan suhu madu suam-suam kuku barulah sapu pada permukaan kulit. Biarkan sapuan madu tersebut pada kulit anda setahan yang anda tahan. Lagi lama, lebih baik. Setelah tu baru bilas dengan air bersih. Lihat dan alami keberkesanannya.


Madu pelbagai khasiat.


Cuba dulu, jangan takut untuk mencuba. Dijamin tiada kesan sampingan. Peringatan kepada yang punyai alahan akan madu, harap jangan mencuba petua ini. Kalau ada alahan la ye..belum ada rekod yang menyatakan ada orang alahan akan madu ni. Anda yang ada pengalaman atau punya pengetahuan tentang alahan madu sila kongsikan bersama saya. Saya sangat hargai perkongsian anda.

Katakan YA pada kebaikan, beranilah berkata TIDAK pada kejahatan. Dan jujurlah bertanya pada kemusykilan yang nyata. Hanya andalah yang mengenal diri anda sendiri.
                                      ~ HAS el-Rizan ~






Biar betul.

Duit kertas lama matawang Malaysia.


Suatu pagi lama dulu makcik saya pergi ke pasar ikan. Menurut cerita makcik, ketika membuat seisi tawar-menawar membeli ikan, si penjual sedikit sibuk menyibukkan diri sendiri. Bukan sibuk melayan pembeli lain, tapi sibuk yang buat-buat sibuk gitu menyibukkan diri melayan diri sendiri. Awal pagi pula tu, belum tahap sibuk pun. Sehinggakan makcik saya yang hanya satu-satunya pelanggannya masa itu tidak terlayan. Apa punya peniaga kan. Setelah siap membeli ikan balik la makcik dalam keadaan marah dan kecewa. Setiba di rumah makcik menadah dalam tangan ada dua keping wang sambil bertanya berapa jumlah wang yang ada dalam tangannya. Saya confius. Dalam masih marah tu, makcik cakap mungkin penjual tu sudah menipu dia, masih dalam nada tidak puas hati. Mungkin duit baki yang dikembalikan tu kurang katanya. Jadi saya pun tanya makcik tu berapa harga ikan yang makcik beli tadi. Lapan belas ringgit kata makcik. Saya tanya lagi berapa duit makcik bagi dekat penjual ikan tu, rm20 kata  makcik. Saya tengok lagi dalam tangan makcik berapa nilai baki yang ada. Mula-mula tengok tu, tak perasan sangat. Saiz duit kertas seringgit dua helai. Tapi perasan sedikit warna duit yang sehelai tu lain sikit warnanya. Belum sempat saya cakap, makcik kata dia memang sah kena tipu. Warna yang satu ni colour lain macam kata dia lagi. Memang lain warna duit tu, sedikit purple warnanya. Bila saya perhatikan betul-betul rupanya nombor yang tertulis diatas duit tu 100. Eh, biar betul. Makcik ni memang sedikit kabur nak tengok warna, kata dia lagi. Saya sedia maklum tentang itu.
Tengok lagi sekali memang sah duit kertas bernilai sertaus ringgit, yang satu lagi memang duit kertas seringgit. Duit tu duit kertas cetakan baru rupanya. Jadi baki sepatutnya rm2 berganda-ganda mencecah rm101. Mak ai, silap besar peniaga tu. 

Lihat perbezaan rm1 dan rm100

Itulah kisahnya kalau berniaga tidak mesra pelanggan. Nasib baik makcik pulangkan balik duit tu. Kalau tersalah  hulur kepada  orang yang tidak jujur, senyum sakanlah orang tu. Kata makcik, kalau dilayannya makcik dengan baik tidaklah berlaku kesilapan semacam itu. 

Pesanan kepada para peniaga dan juga kepada saya ;

Mahu jadi peniaga, buat betul-betul. Jangan sambil lewa. Biarpun pelanggan seorang , layanlah sehabis mesra anda. Anda berniaga sehabis baik, pelanggan juga melanggani kedai anda dengan setia dan senang hati. Kepada anak-anak sekalian yang masih punya emak dan bapa, jadilah mata-mata untuk mereka. Mungkin pandangannya sedikit tidak mengizinkan untuk melihat dengan jelas, kitalah jadi mata mereka. Kita yang punya mata terang dan sihat walafiat ni apa salahnya jadi teman mereka ke mana-mana tempat yang emak dan bapa kita nak pergi.

Sendu hati saya bila mengenang cerita ini. Terkenangkan emak yang sudah berada di alam lain. Terkenang semasa emak selalu ingin ditemani, ke kedai atau ke pasar saya sempat menjadi mata-mata emak. Syukurlah saya diberi kesempatan menemani emak ke mana-mana emak pergi semasa hayatnya ada. Bukan niat nak riak untuk bercerita tapi kenyataan yang menggamit rasa untuk terus berkongsi saat-saat manis bersama emak tersayang. Semoga roh emak dicucuri rahmat, ditempatkan di istana terindah dan dihimpunkan di kalangan umat manusia yang dikasihi  Tuhan. Amiiin.



Usah tertipu pada pandangan mata yang memikat, boleh jadi pandangan itu pencetus kepada penyesalan-penyesalan yang tidak terhingga. 

Petua Dapur


Salam bahagia.
Petua berguna hari ini.

Tengok betul-betul..

Hari ini saya cerita tentang garam. 
Terdapat cara mudah bagi mengelakkan ikan atau apa-apa bahan mentah yang anda ingin goreng dalam kuali.
Caranya;
     Sebelum menggoreng, masukkan secubit garam halus ke dalam
     minyak. Itu saja. Mudah bukan.

Selamat mencuba. Petua turun temurun.

Kurangkan manis dalam masakan, lebihkan manis ketika menghidang.
                     ~ Kata saya ~

Saturday, November 10, 2012

Artis Terbaik

Penyanyi cilik Indonesia

Lirik lagu yang sangat menyentuh perasaan.
Pertama kali terdengar lagu ini, hati terus terpaut untuk dengar berulang kali.

                     Awan-awan menghitam
                     Langit runtuhkan bumi
                     Saat aku tahu 
                     Kenyataan menyakitkan

                     Mengapa semua menangis
                     Padahal ku selalu tersenyum
                     Usap air matamu
                     Aku tak ingin ada kesedihan 
                      Chorus:
                     Burung sampaikan nada pilu
                     Angin terbangkan rasa sedih
                     Jemput bahagia diharinya
                     Berikan dia hidup

                     Tuhan terserah pada-Mu 
                     Aku ikut mau-Mu Tuhan
                     Ku catat semua ceritaku
                     Dalam harianku.

Satu-satunya artis Indonesia kegemaran saya yang membawa kelainan dari segi susunan genre muzik dan lirik melalui hasil dari karya beliau sendiri. 

Nama sebenar : Meliana Cessy Goeslow
Nama popular : Melly Goeslow
Nama Suami : Anto Hoed
Tarikh Lahir : 7 Januari 1974
Tahun aktif : 1988 - sekarang

Semoga berjaya dalam bidang dunia hiburan. Saya sangat berharap dapat kesempatan untuk bertemu empat mata dengan beliau. Amiiin.

Kitalah yang menentukan kebahagiaan kita di tahap mana, coraklah kebahagiaan kita seolah-olah tiada lagi perkataan yang boleh diumpamakan dengan rasa bahagianya kita.
                                      ~  HAS el-Rizan ~
                                            






Cara Mengesan Camera Di Dalam Hotel | OgysiJemariSeni

Cara Mengesan Camera Di Dalam Hotel | OgysiJemariSeni

Saya sangat suka maklumat yang ditulis oleh sahabat blog saya ni.
Sangat bermanfaat kepada saya.
Selama ni, kalau menginap di mana-mana hotel, tidak pernah sekali terfikir tentang sepertimana yang tercetus dari fikiran semacam ni.
Inilah infomasi dan tip-tip yang sangat berkenan di hati saya. 


Area-area yang berkemungkinan diletakkan kamera oleh pihak yang tidak berperikemanusiaan.



Moral dari info ini.
  • Sentiasa berhati-hati dan berwaspada pada persekitaran walau di mana anda berada.
  • Jangan malas nak cheak up setiap kali menginap mana-mana hotel.
  • Lebih baik menumpang sekejap di rumah saudara-mara yg hampir dengan tempat yang anda kunjungi, boleh juga dipanjangkan hubungan silaturrahim.


Friday, November 9, 2012

Lagi fakta tentang otak manusia.

Salam penuh keterujaan dari saya.

Mari kita merungkai bagaimana hendak berfikir dengan menggunakan kedua-dua belah otak.

Secara terperinci hal ini tidak pernah didedahkan oleh para pemikir, saya dedahkan maklumat berguna ini melalui pengalaman sendiri Dr. Hm Tuah Iskandar. Beliau mendapati hal ini boleh dicapai apabila kita menceburi lebih daripada satu bidang dalam hidup kita. Lebih baik bidang yang tiada kaitan atau berbeza sama sekali, misalnya jika anda meminati seni lukis, anda libatkan diri dengan sektor perakaunan sebagai kegiatan sampingan. Jika anda seorang doktor bedah, libatkan diri dengan sektor pendidikan. Dalam ertikata lain, lakukan satu kerja lain yang hakikatnya tidak begitu anda cenderungi. Semakin banyak bidang yang anda ceburi adalah semakin baik untuk kedua-dua belah otak berfungsi untuk anda.Seorang pekerja pejabat yang melakukan pekerjaan yang sama setiap hari dengan tidak mencuba sesuatu yang berhalangan atau mencabar sebenarnya hanya menggunakan sebelah otaknya sahaja. Dia telah membazirkan peranan otaknya yang sebelah lagi itu. Peratus untuk dia hidapi penyakit alzheimer atau penuaan minda lebih besar berbanding rakan sejawatnya yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau sebagainya.

Dr. Hm Tuah Iskandar telah memperincikan keupayaan-keupayaan otak kiri dan kanan supaya lebih mudah difahami.

Otak kanan- Kreatif
  • Sintesis
  • Analogi ( membentuk kefahaman sesuatu konsep secara mengaitkan dengan ciri serupa)
  • Ruang
  • Intuitif ( kebolehan mengetahui sesuatu dengan tidak melalui proses berfikir yang biasa atau mengikut gerak hati)
  • Holistik ( kebolehan memahami idea secara keseluruhan)
  • Bentuk / Corak / Pola / Lukisan / Rentak / Imej / Visual / Gambar
  • Imaginasi
  • Kreativiti ( Kebolehan menyusun idea-idea dengan cara baru dan imaginatif)
  • Global
  • Interaktif
  • Gerakan / Tarian
  • Melihat perhubungan dan keseluruhan
  • Amalan 
  • Serentak ( kebolehan memproses lebih daripada satu jenis aktiviti minda dalam satu masa)
  • Visi
  • Perkongsian / Kerohanian
  • Bunyi semulajadi
  • Emosi ( perasaan )
  • Konkrit.

 Otak kiri - Logik

  • Bahasa / Lisan
  • Terancang dan berstruktur
  • Bukan gerakan
  • Pengiraan
  • Penulisan
  • Melihat bahagian-bahagian
  • Teori
  • Mengawal perasaan
  • Analisis
  • Simbiolik
  • Abstrak
  • Sekuens ( turutan )
  • Rasional
  • Digital
  • Logik
  • Fakta
  • Terperinci
  • Perancangan
  • Prosedur
  • Ulangan
  • Pengelolaan
  • Lelurus ( linear)

Begitulah serba sedikit perkongsian ilmu tentang otak kita. Pendedahan ini bolehlah kita gunakan untuk kita aplikasikan dalam kehidupan seharian bagi mencapai potensi otak yang optimum dan harmoni. Semoga ianya bermanfaat untuk kita semua.

Kongsikan ilmu yang berguna agar ianya berterusan dan    bermanfaat kepada kecemerlangan minda anak bangsa.

Fakta dan keajaiban otak manusia.

Salam hebat dan luar biasa bahagia sekali.

Hari ini saya ingin kongsikan tentang keupayaan otak manusia.
Otak adalah anugerah Tuhan yang paling berharga.

Tahukah anda, berat otak kita hanyalah 2% daripada berat badan kita.

Kita semua mempunyai 10 hingga 15 bilion neuron di dalam otak. Jumlah yang sebegini banyak melebihi dua kali ganda seluruh penduduk dunia. Wah..banyaknya neuron.




Inilah neuron. 10 hingga 15 bilion dalam otak kita. 

 Tahukah anda, 25,000 neuron saiznya hanya sebesar hujung sebatang jarum. Bukan sebatang jarum, hujung saja. Boleh bayangkan...



Menurut Dr.Hm Tuah Iskandar al-haj Dalam bukunya yang bertajuk Membina Imajinasi Cemerlang, jika dikumpulkan semua otak, ciptaan yang pernah dicipta oleh manusia sejak dahulu hingga kini tidaklah mencapai nisbah yang sepatutnya. Ini kerana jumlah neuron tidak melambangkan kecerdikan seseorang tetapi rangkaian yang menghubungkan antara neuron dengan neuron atau dipanggil (synapses) itulah yang menentukan tahap kecerdasan tersebut.

Sinaps iaitu rangkaian yang menghubungkan neuron ke neuron.



Meskipun jumlah sinaps yang biasa dalam otak manusia berjumlah sekitar 10 trilion (10,000,000,000,000), tidak semuanya terguna dengan baik kerana kurangnya pengetahuan tentang peranan imaginasi merealitikan impian-impian. 

Mewujudkan imaginasi adalah salah satu daripada peranan otak dalam aktiviti berfikir. Imaginasi yang telah wujud akan melalui beberapa lagi proses internal (dalaman) yang akan menggerakkan anggota-anggota manusia yang lain untuk merealitikan impian-impian yang telah digambarkan itu. 

Mari kita lihat apa yang ada di dalam otak dan kita sama-sama akui keajaiban-keajaibannya.

* Berat otak lebih kurang 1.5kg iaitu 1/40 daripada berat badan.
* Terbahagi kepada 3 bahagian iaitu; 
     1. Otak neucortex,
     2. Otak mammalian,
     3. Otak reptilian.

* Pulsa saraf di dalam badan manusia bergerak dengan kelajuan 0.5m sesaat ke 100m sesaat. Ia kemudian bersambung dengan cabang saraf yang disebut axon dan dendrite

* Cabang saraf axon ini akan memancarkan denyutan atau pulsa elektrik untuk memberi isyarat kepada dendrite supaya otak dapat berfungsi.

* Otak neocortex pula terbahagi kepada dua cereblum iaitu;
       1. Otak kiri dikenali sebagai otak logik.
       2. Otak kanan dikenali sebagai otak artistik.

* Neuron mengandungi bahan sel yang saling bersambung di antara satu sama lain untuk melakukan denyutan saraf dan melakukan proses membuat maklumat di antara satu neuron dengan neuron yang lain.

Dr. Roger Sperry dari Institut Teknologi California pada tahun 1965 telah memberi teori otak kiri dan otak kanan yang dipercayai dan digunakan hingga kini. Mereka merumuskan bahawa;

  • Otak kiri dan otak kanan menggunakan kaedah yang berbeza dalam memproses maklumat dan pengalaman.
  • Seseorang individu lebih suka memproses maklumat dan pengalaman sama ada dengan otak kiri atau otak kanannya sahaja.
  • Kedua-dua otak adalah sama pentingnya.
  • Otak kiri mengawal bahagian kanan anggota badan.
  • Otak kanan mengawal bahagian kiri anggota badan.

Seseorang boleh dikatakan boleh mengetahui apakah dia menggunakan otak kiri atau kanan atau kedua-duanya sekali dengan melihat kecenderungan dia berfikir dan belajar berdasarkan ciri-ciri yang telah disebutkan itu. Tetapi untuk menjadi seorang yang cemerlang  dan hebat, kedua-dua otak perlu digunakan secara harmoni, iaitu kedua-duanya perlu diintegrasikan dengan sempurna. Seseorang perlu mendapatkan kemahiran menggunakan kedua-dua otak untuk mendapatkan potensi minda yang optimum.

Hasil kajian Dr. Rojer Sperry dan Dr. Paul Maclean mendapati manusia hanya menggunakan 10% daripada potensi otak, 90% lagi menunggu untuk dikembangkan. Alahai terlalu sedikit potensi otak manusia yang berjaya dikembangkan. Tokoh sains dan teknologi abad ke-20 Albert Einstein dikatakan telah menggunakan kedua-dua otaknya secara optimum sehingga dia menjadi orang yang sangat hebat pada zamannya. 

Persoalan yang mungkin anda persoalkan ialah bagaimana hendak berfikir dengan menggunakan kedua-dua belah otak?

Sabar dulu kawan-kawan. Kita sambung di halaman seterusnya, terasa tekak ni haus pula dan teringin disirami kopi susu yang sangat sejuk, enak berkrim gitu. Jom minum dulu.

Salam membina jambatan ilmu di halaman berikutnya.




Belum terlambat untuk menjana pemikiran yang gemilang. Lakukan hari ini, mulakan dari diri anda sendiri. Lalu rasai apa yang bakal terjadi dalam hidup anda.
                                    ~ Hd el-Rizan ~




Thursday, November 8, 2012

Petua dapur 2

Hari ini saya ingin kongsikan petua dari emak bagaimana untuk menghalau semut.
Biasanya kediaman yang berhampiran sungai dan halaman yang sedikit lembab, inilah tempat yang sangat mudah dihurung semut. Pasu-pasu bunga yang lembab bekas sisa siraman air dan bekas makanan, apalagi kalau bekas bergula. 


Semut hitam yang mengerikan.


Petua dari emak, hanya sapukan minyak sapi di sekeliling bekas yang dikerumuni semut. Dengan cara ini, semut tidak akan ada lagi.

Ghee @ minyak sapi. Salah satu bahan untuk membuat biskut.


Semut jenis ni warna merah.




Petua awet muda.

Salam pertemuan.

Hari ini saya suka berkongsi tentang khasiat sayur taugeh. Sebelum saya dedahkan petua yang seterusnya, saya ingin kongsikan satu menu yang sangat bagus untuk dijamu kepada keluarga. 

Pelbagai khasiat.

Saya peroleh maklumat ini dari hasil tulisan buku Dr. HM Tuah Iskandar. Antara khasiat (menurut pengkaji taugeh) yang terdapat dalam sayur taugeh ni bolehlah saya ringkaskan seperti di bawah:

  • Menyumbang kepada kesuburan lelaki dan wanita.
  • Bagi kaum lelaki, makan banyak taugeh spermanya makin baik.
  • Melumpuhkan bibit kanser, usus besar, pankreas dan leukimia. (Mengandungi unsur fitokimia yang berkhasiat. Salah satunya ialah canavanine, sejenis asid amino. Canavanine dikatakan mampu melumpuhkan bibit kanser, usus besar dan pankreas.)
  • Mempunyai banyak serat dan air. Inilah tunjang utama taugeh dalam memerangi sel kanser.
  • Membantu membuang kotoran dalam usus besar. Apabila kotoran segera meninggalkan usus besar, tidak ada lagi zat-zat racun dalam kotoran yang dapat diserap tubuh. Ia akan mencegah penggumpulan bahan beracun yang dapat merangsangberseminya benih kanser.
  • Mengandungi estrogen semulajadi yang berfungsi sama dengan estrogen sintesis. Estrogen dalam taugeh dapat meningkatkan kepadatan dan susunan tulang serta mencegah kerapuhan tulang iaitu osteoporosis.
  • Taugeh padat dengan antioksida kuat yang menghalang tubuh daripada radikal bebas perosak DNA. Perlindungan ini menguatkan kesimpulan yang membuat kita yang mengamalkan memakan taugeh menjadi lebih awet muda.
Manfaat kepada wanita:
  • Perempuan yang banyak makan taugeh boleh mengelakkan penyakit kanser payudara.
  • Bagi kaum wanita, makan banyak taugeh membantu kesuburan telur yang dihasilkan.
  • Boleh hindarkan diri dari simptom dan gangguan pra-menopaus.

Jadi bak kata Dr. Tuah Iskandar, mari kita amalkan petua untuk sentiasa awet muda ini. Ambil tahu dan ambil kisah tentang motivasi kesihatan pun penting untuk motivasi secara keseluruhan. Dan salah satu faktor terpenting untuk mengekalkan kesihatan tidak lain ialah makanan.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Mockingjay